Saturday, September 18, 2010

Bekerjalah dengan ikhlas

Aidilfitri sudah seminggu sudah pastinya ramai yang sudah memulakan tugas masing-masing setelah bercuti dan berhari raya. Setelah lama bercuti dan berhari raya pasti ramai di antara kita liat sedikit untuk memulakan kerja. Almaklumla lama bercuti dan berseronok. Tapi tanggungjawab tetap perlu dilaksanakan.

Bercerita tentang kerja saya ingin berkongsi dengan pembaca semua tentang peristiwa petang tadi. Hari ini saya keluar dating dengan Incek Tunang saya. Setelah berjalan-jalan di bandar, kami pergi menjamu selera. Sesudah itu kami mengambil keputusan untuk pulang memandangkan hari semakin petang. Kami pun keluar dari pusat membeli belah dan menuju ke tempat letak kereta.

Semasa kami sedang berjalan kaki ke tempat letak kereta, kami ternampak ada 2 orang makcik yang bekerja sebagai tukang sapu sampah di jalanan (menyapu daun-daun dan sampah-sampah lain). Sudah tentu-tentu kita dapat bayangkan mereka bekerja di bawah terik mentari. Kami berjalan melepasi salah seorang dari makcik tersebut (seorang lagi sudah jauh kehadapan). Sedang kami melepasi salah seorang makcik, makcik yang satu lagi menoleh kebelakang dan menyuruhnya supaya lekas (mereka mahu pulang). Tapi makcik tersebut menjawab: 

"Tak apa, kau jalan dulu. Aku nak sapu sikit lagi daun ni" 

Saya memang tidak ambil kisah tentang perkara tersebut. Tapi, situasi tersebut rupanya diperhatikan oleh Incek Tunang saya. 

"Cuba tengok makcik tu, tadi dia dah sapu kat sini. Sekarang Aman rasa masa kerja diaorang dah habis, tapi makcik tu masih lagi nak menyapu. Makcik tu bekerja dengan ikhlas. Cara dia bercakap pun kita tau dia ikhlas dengan kerja dia. Kalau orang lain mesti cakap, waktu kerja aku dah habis, lagipun aku dah menyapu kat sini tadi"

Saya dengar terus terdiam. Ada kebenarannya apa yang Incek Tunang saya cakapkan tu. Dalam hati saya terdapat keinsafan dan kekaguman. Insaf kerana kadang-kadang kita bekerja penuh dengan rungutan, walhal itu memang sudah menjadi tanggungjawab kita. Insaf kerana walaupun kita bekerja dibawah kedinginan penghawa dingin kita masih mahu pulang kerja awal dan kadang-kadang curi tulang. Dan saya kagum bagaimana Incek Tunang saya boleh begitu peka dengan keadaan sekeliling dia. Sedangkan saya pandang sebelah mata pun tidak kepada makcik tersebut. What a shame...dan terasa diri ini sangat loser.


p/s : Walau apapun pekerjaan kita, lakukanlah dengan ikhlas. Kerana kerja itu ibadah.

No comments:

Post a Comment